Sunday, 13 April 2014

peranan dan kepentingan usahawan

Peranan Dan Kepentingan Usahawan

Peluang untuk mengawal nasib sendiri

Peluang memiliki perniagaan sendiri sememangnya impian bagi setiap individu yang bergelar usahawan. Usahawan yang memiliki perniagaan sendiri bebas memainkan peranan dalam usaha untuk mencapai matlamat peribadi. Sekira ia ingin berjaya dalam hi ia boleh berusaha dengan lebih gigih lagi. Misalnya seorang usahawan yang memerlukan tambahan modal untuk membesarkan perniagaannya ia boleh bekerja lebih masa atau menjual barang dengan harga yang lebih murah supaya ia mendapat jualan yang banyak dan keuntungan dapat ditingkatkan. Berbagai-bagai cara dapat dilakukan oleh beliau untuk mengawal nasibnya sendiri.

Peluang untuk mencapai potensi sebenar

Untuk mencapai matlamat yang diimpikan seorang usahawan harus menggunakan semua potensi, kemahiran dan ketrampilan yang dimiliki untuk menghadapi sebarang halangan dan rintangan untuk mencapai hasratnya. Di sini juga ia akan bertindak diluar jangkaannya sendiri. Tercapai atau tidak matlamatnya selalunya tidak begitu penting setelah berusaha melakukan yang terbaik. Ia akan berpuas hati dan merasa gembira apabila segala potensi yang ada telah digunakan.

Peluang untuk memperolehi keuntungan

Mendapat untung sememangnya salah satu matlamat seorang usahawan dam menjalankan perniagaan. Pelanggan selalunya menjadi ganjaran kepada usaha yang gigih. Dalam banyak keadaan keuntungan menunjukkan kejayaan dan mencerminkan kerajinan, kepintaran dan kreativiti terhadap perniagaannya.

Peluang untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara

Peranan usahawan terhadap masyarakat dan negara amat besar, seorang usahawan yang berjaya akan menjadi contoh kepada masyarakat. Ia juga dapat mengharumkan nama negara kerana usaha-usaha murni yang telah ditunjukkan.

Sunday, 23 March 2014

Kata-kata Semangat dan Perangsang Kejayaan

Cara Promosi Perniagaan di Facebook yang berkesan

Usahawan.TV - Bagaimana menjadi usahawan berjaya?



punca usahawan tewas



Punca usahawan tewas!!


Assalamualaikum dan hello pembaca-pembaca blog =]
Usahawan kini berada di mana-mana sahaja. Tidak kiralah usahawan kecil-kecilan atau sebaliknya. Ia merupakan satu perkembangan yang bagus dalam bidang keusahawan di Malaysia. Contohnya dapat kita lihat berita-berita di dada akhbar iaitu, menjadi usahawan Internet pada usia 25 tahun, usahawan kosmetik mencapai status pada usia 21 tahun dan sebagainya. Tetapi, hakikat yang perlu kita tahu di sini adalah di sebalik kejayaan seseorang usahawan itu terdapat 1001 lagi kisah kegagalan yang disembunyikan. Tiada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa sebrang usaha.
Ingin saya kongsikan di sini ialah 8 faktor usahawan di Malaysia tewas pada awal perniagaannya. Oleh itu, kalian yang ingin menjadi usahawan boleh menjadikannya sebagai satu langkah berjaga-jaga.
1. Semangat Palsu
Banyak usahawan baru yang menceburi bidang perniagaan adalah atas semangat untuk memiliki simbol mewah semata-mata. Motivasi mereka terletak pada kejayaan memiliki simbol-simbol tersebut. Apabila mereka berusaha bertahun-tahun dan masih gagal memiliki simbol tersebut, mereka cepat putus asaPemilik perniagaan seperti ini meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan perniagaan mereka. Salah satu contoh tingkah laku mereka ialah, mereka menghabiskan sebahagian besar duit keuntungan syarikat untuk membeli simbol-simbol mewah supaya kelihatan kaya dari sudut luaran. 
2. Tidak cukup ilmu perniagaan
Ilmu perniagaan yang betul bakal mempengaruhi cara membuat keputusan dan mengurus sesuatu perniagaan. Terjun tanpa ilmu ibarat memperjudikan nasib. Banyak orang lebih ghairah melaburkan modal puluhan ribu untuk memulakan perniagaan daripada menghabiskan RM 100 untuk membeli buku-buku perniagaan yang ditulis oleh pakar industri. Dengan adanya ilmu, risiko untuk duit hangus dapat diminimakan. Banyak kisah tragis yang berlaku akibat jahil tentang perniagaan.
3. Gelojoh membuat keputusan
Gelojoh di dalam membuat keputusan menyebabkan banyak tindakan awal yang tidak mengikut logik perniagaan itu dilakukan. Pemilik pernigaan seperti ini lazimnya membuat keputusan atas dasar ‘sangkaan yang baik-baik sahaja’. Lazimnya, keputusan ini di bawah pengaruh emosi ‘over-excited’.  Dalam membuat sesuatu keputusan perlu juga lihat faktor-faktor lain seperti pengalaman, lokasi, jumlah bajet pemasaran, tenaga kerja dan lain-lain. Proses meniru orang berjaya tidak hanya berdasarkan hasil akhir mereka, sebaliknya bermula dari proses awal yang mereka lalui.
4. Memulakan perniagaan dengan duit pinjaman
Menggunakan kemudahan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan akan meletakkan pemilik di dalam situasi tertekan. Fokus mereka bukan lagi untuk mengembangkan bisnes, sebaliknya membayar hutang. Ini menyebabkan wujud satu lagi ‘cabang tekanan’ yang tidak perlu pemilik perniagaan tanggung pada peringkat awal. Duit pinjaman lazimnya digunakan untuk mengembangkan bisnes yang sudah stabil, bukan untuk memulakan bisnes.
5. Menyamakan wang perniagaan dengan wang peribadi
Tidak tahu membezakan wang perniagaan dan wang peribadi menyebabkan perniagaan lebih mudah pancit awal.  Tindakan ini ibarat ‘mencuri’ wang syarikat sendiri. Apabila tiba saat jualan merudum dan syarikat memerlukan bajet tambahan untuk pemasaran, duit syarikat tidak cukup. Wang yang ‘dicuri’ itu pula sudah habis dibelanjakan atas keperluan dan kehendak peribadi.
6. Jangkaan Palsu
Peringkat awal memulakan bisnes, sebahagian pemilik mengalami situasi ‘beginner’s luck’ iaitu jualan produk laku di luar jangkaan. Contohnya, sasaran awal jualan sebanyak RM 4000 meningkat drastik kepada RM 10,000 sebulan. Ini adalah situasi biasa berlaku apabila menjual sesuatu produk yang menjadi ‘trend’. Walaupun dengan menggunakan satu saluran pemasaran dengan bajet yang minima, ia mampu menghasilkan jualan yang jauh melebihi sasaran awal.
Banyak pemilik bisnes yang mengalami situasi ini menjangkakan fenomena ‘jualan lebat’ ini akan berterusan hingga ke bulan-bulan seterusnya sehingga banyak duit dihabiskan kepada produk semata-mata. Apabila graf ‘trend’ produk itu mula menurun, dan tiba masanya syarikat perlu menambah produk baru atau mengembangkan saluran pemasaran, duit di dalam kantung syarikat tidak mencukupi. Produk lama pula masih banyak yang belum dijual. Permintaan semakin lama semakin menurun. Lama kelamaan bisnes terpaksa ditutup.
7. Tidak berani mengambil staf
i. Isu kepercayaan.
Apabila bisnes sudah berjalan lancar, mereka tidak berani menyerahkan sebahagian tugas mereka kepada staf kerana takut berlaku kes pecah amanah dan ‘rahsia-rahsia keuntungan mereka terdedah’. Tindakan ini tiada kaitan dengan kepentingan bisnes. Jika diperhatikan, bisnes yang berkembang baik pada hari ini mempunyai ratusan malah ribuan staf yang bekerja membangunkan syarikat. Syarikat seperti ini juga tidak merahsiakan perolehan syarikat kepada semua warga kerja. Tidak mungkin bisnes itu boleh bertukar menjadi empayar gergasi jika di dalam pejabatnya itu hanya ada pemilik bisnes dan tukang sapu sahaja bertugas.
ii. Isu kos.
Tidak dinafikan mengambil staf melibatkan kos yang tinggi. Bayaran KWSP dan Socso juga perlu diambil kira. Tidak hairan sebahagian pemilik bisnes yang sudah berjaya pada hari ini sanggup memperuntukkan gaji bulanan lebih kecil daripada gaji staf pada peringkat awal memulakan bisnes. Mereka sanggup mengikat perut supaya mereka dapat membayar tenaga mahir. Dengan ini, mereka dapat fokus untuk mengembangkan bisnes daripada masih membuat kerja-kerja teknikal. Banyak bisnes bungkus awal disebabkan terlalu berkira untuk mengambil tenaga pakar yang terbaik di pasaran. 
8. Tidak membuat perancangan spesifik

Bisnes tanpa perancangan ibarat sampan tanpa pendayung. Sebagai contoh, Encik Sirul (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan menjadi pemborong baju kanak-kanak. Encik Sirul mensasarkan jualan tahun pertama sebanyak 200,000 helai. Namun, tiada perancangan spesifik yang dibuat oleh ahli pasukan En Sirul. Angka 200,000 itu tidak akan datang dengan keajaiban.
Salah satu contoh perancangan yang tidak dibuat ialah, En Sirul tidak membuat saringan awal seperti pecahan jualan setiap wakil negeri atau daerah yang perlu dicapai dalam masa setahun. Pecahan-pecahan jualan lebih kecil juga tidak dilakukan seperti sasaran jualan setiap bulan, setiap hari atau setiap jam. Malah, berapa wakil jualan yang perlu dilantik untuk mencapai sasaran jualan juga tidak dianalisa.

Sani Salleh



usahawan pengangkutan berjaya



Assalamualaikum dan hai semua....

Kali ini saya nak berkongsi serba sedikit tentang latar belakang usahawan pengangkutan yang berjaya. Siapa lagi tidak lain tidak bukan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh.




NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh

USIA: 33 tahun

LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).
PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)




PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.


Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.



Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express. Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.


Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.


Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.



“Biasalah… dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.



“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.



Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu. Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan. Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.



“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.



Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.



“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.



“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.



Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.
“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.



“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.



Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.


Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.


“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.




Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.


Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.


Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.



Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.




Saturday, 22 March 2014

irfan khairi jutawan muda



Irfan khairi
KEJAYAAN Irfan Khairi mencapai pendapatan RM1 juta melalui perniagaan internet dalam usia yang masih muda telah melonjakkan namanya sehingga digelar sebagai jutawan internet.
Rata-rata pengusaha yang menjalankan perniagaan berasaskan internet telah menjadikan beliau sebagai ikon dan sumber inspirasi untuk maju dalam perniagaan. Pergilah ke mana-mana jemputan seminar bisnes internet sama ada konvensional mahupun berasaskan ‘networking,’ nama Irfan Khairi pastinya disebut-sebut sebagai individu contoh yang berjaya dalam bisnes internet.
Mengimbas kembali kronologi sejarah dirinya sebelum bergelar jutawan. sebaik sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire Universiti, United Kingdom (UK), Irfan menerima tawaran bekerja di salah sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) terbesar di Birmingham iaitu Netmedia (UK) Ltd.
Sebagai pereka sistem multimedia dan perunding internet, beliau diberi tanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai Learning Grid. Sekarang lebih daripada 5000 buah sekolah di UK menggunakan sistem tersebut.
Oleh sebab minat dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan internet secara sambilan pada 1999.
Perniagaan internet beliau yang menggunakan nama IdeaBubble, sehingga sekarang telah berkhidmat untuk lebih daripada 3000 orang pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari Amerika Syarikat, UK, negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia.


Antaranya perniagaannya yang berjaya dan berkembang pesat melibatkan perkhidmatan mereka bentuk buku elektronik (e-book), mereka cipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO(Search Engine Optimization), menjual peta, penempatan hotel, perunding multimedia, e-Niaga dan e-pembelajaran.
Namun demikian, sebelum mencipta kejayaan, beliau mengaku mengalami kegagalan di peringkat awal mengusahakan bisnes internet. Selama setahun beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan tidak mencapai matlamat.
Kegagalan yang dialami menyebabkan Irfan mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet. Hasil penelitiannya, Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang menyebabkan kegagalannya iaitu kaedah promosi yang tidak tepat dan juga kurang fokus.
Minat yang mendalam terhadap perniagaan internet telah mendorong Irfan mempelajari semula pelbagai perkara tentang pemasaran melalui menerusi internet, serta menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai contoh.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dipelajarinya sebelum ini, Irfan menyusun semula srategi perniagaannya, dengan bermodalkan kurang daripada RM500.
Dalam percubaan kedua untuk bangkit dari kegagalan itu, Irfan lebih bijak memilih kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang diketengahkan. Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran Arab bagi menjual peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyai permintaan yang tinggi di sana.
Irfan akhirnya berjaya mengangkat perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan tersebut meningkat berlipat kali ganda daripada pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa.
Akhirnya, selepas tiga tahun menjalankan perniagaan internet, Irfan telah berjaya memperolehi pendapatan mencecah RM1 juta tanpa perlu ada pekerja dan peralatan komputer yang canggih.
Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan menggunakan komputer riba dan akses internet. Ketika itu, beliau baru sahaja berusia 25 tahun.
Irfan juga tidak lokek berkongsi kejayaannya dengan sesiapa pun malah beliau mencurahkan pengalamannya dengan menulis buku berjudul, “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” kepada orang ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan perniagaan internet.
Menceritakan pengalamannya yang sukar dilupakan ketika mengusahakan perniagaan internet ketika menetap di luar negara ialah pertemuannya dengan seorang jutawan hartanah terkenal, Azizi Ali.
“Antara kisah yang membuatkan orang kenal dengan saya sehingga ke hari ini ialah Azizi Ali.
“Pada mulanya Azizi Ali menjadi pelanggan saya. Beliau membuat pesanan di laman web saya yang menjual perkhidmatan reka bentuk logo. Saya dapat tempahan daripada beliau untuk membuat logo.
“Apabila saya lihat butiran pembayaran menggunakan kad kredit, saya perhatikan nama butiran kad kredit itu nama orang Melayu. Jadi saya tengok alamatnya orang Malaysia. Waktu itu saya rasa macam popular nama itu.
“Saya terus membuat reka bentuk logo untuknya. Kemudian saya baru teringat yang saya ada memiliki buku yang ditulis oleh Azizi Ali. Saya ambil buku itu dan saya tengok alamat buku itu sama dengan alamat yang tertera dalam butiran kad kredit tersebut. Rupa-rupanya Azizi Ali merupakan jutawan hartanah yang terkenal itu.
“Apabila logo telah saya siapkan, saya berinteraksi melalui e-mel dengan Azizi dalam Bahasa Inggeris. Beliau tidak tahu pun yang saya ini adalah orang Melayu. Beliau akhirnya berpuas hati dengan logo yang saya buat melalui testimoni yang dihantar. Selepas membaca testimoninya menerusi e-mel, saya balas balik e-mel beliau dalam Bahasa Melayu.
“Beliau terkejut apabila mengetahui saya orang Melayu. Kemudian beliau pesan supaya saya menemui beliau apabila pulang ke Malaysia. Dipendekkan cerita, saya pulang ke Malaysia bersama isteri ketika cuti panjang.
“Apabila dapat tahu Azizi ada buat seminar, saya terus menemuinya dan bersembang banyak perkara. Dari situlah hubungan saya dengan Azizi Ali mula terbina. Beliau cadangkan kepada saya kenapa tidak awak buat buku tentang perniagaan internet. Jadi, saya terima sahaja cadangan beliau. Saya tulis, Azizi yang terbitkan. Saya menjadi penulis Azizi yang pertama, sebelum ini, syarikat penerbitan beliau tidak ambil seorang penulis pun,” jelas Irfan panjang lebar.
“Apa yang saya nak beritahu di sini ialah tentang betapa hebatnya perniagaan internet, perniagaan tanpa sempadan. Dari beribu-ribu batu jauh jaraknya, saya boleh bertemu dengan Azizi Ali,” kata Irfan yang mengakui bahawa Azizi Ali menjadi titik tolak dirinya dikenali pada hari ini.
Hasil cadangan Azizi Ali yang merupakan seorang pakar kewangan tempatan itulah menyebabkan buku “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” ditulis manakala Azizi Ali menajdi penerbit buku berkenaan melalui syarikatnya, Truwealth Sendirian Berhad.
Buku itu telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan sehingga mencapai tahap best seller sepanjang tahn 2005. Kewujudan buku itu sebenarnya menjadi “publisiti” yang telah membantu melonjakkan nama Irfan Khairi sebagai ikon perniagaan internet sehingga menjadi rujukan oleh pelbagai pihak.
Di pihak media, terutamanya para editor dan juga wartawan menjadikan beliau sebagai sumber bahan perbincangan mengenai isu yang berkaitan dengan perniagaan internet. Hasilnya, Irfan Khairi mendapat publisiti yang sangat meluas daripada pelbagai media cetak dan elektronik sehingga ke hari ini.
Selain buku, Irfan juga pada setiap bulan turut menganjurkan bengkel serta seminar yang berkaitan dengan perniagaan internet. Kini, beliau bukan sahaja mengajar subjek perniagaan internet pada bengkel yang dikendalikannya, malah turut mendapat tawaran memberi ceramah ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di Institut Pengajian Awam serta Swasta. Begitulah sedikit sebanyak kisah kejayaan beliau dalam perniagaan internet.
Bercakap mengenai rahsia kejayaan, beliau mengambil contoh individu yang paling kaya di dunia ini yang turut menjadi idolanya iaitu Bill Gates.


“Saya dapati, mereka yang berjaya kerana mereka melakukan perkara yang disukai. Contohnya Bill Gates, ‘Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang diminatinya iaitu pengaturcaraan (programming).