Sunday, 23 March 2014

punca usahawan tewas



Punca usahawan tewas!!


Assalamualaikum dan hello pembaca-pembaca blog =]
Usahawan kini berada di mana-mana sahaja. Tidak kiralah usahawan kecil-kecilan atau sebaliknya. Ia merupakan satu perkembangan yang bagus dalam bidang keusahawan di Malaysia. Contohnya dapat kita lihat berita-berita di dada akhbar iaitu, menjadi usahawan Internet pada usia 25 tahun, usahawan kosmetik mencapai status pada usia 21 tahun dan sebagainya. Tetapi, hakikat yang perlu kita tahu di sini adalah di sebalik kejayaan seseorang usahawan itu terdapat 1001 lagi kisah kegagalan yang disembunyikan. Tiada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa sebrang usaha.
Ingin saya kongsikan di sini ialah 8 faktor usahawan di Malaysia tewas pada awal perniagaannya. Oleh itu, kalian yang ingin menjadi usahawan boleh menjadikannya sebagai satu langkah berjaga-jaga.
1. Semangat Palsu
Banyak usahawan baru yang menceburi bidang perniagaan adalah atas semangat untuk memiliki simbol mewah semata-mata. Motivasi mereka terletak pada kejayaan memiliki simbol-simbol tersebut. Apabila mereka berusaha bertahun-tahun dan masih gagal memiliki simbol tersebut, mereka cepat putus asaPemilik perniagaan seperti ini meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan perniagaan mereka. Salah satu contoh tingkah laku mereka ialah, mereka menghabiskan sebahagian besar duit keuntungan syarikat untuk membeli simbol-simbol mewah supaya kelihatan kaya dari sudut luaran. 
2. Tidak cukup ilmu perniagaan
Ilmu perniagaan yang betul bakal mempengaruhi cara membuat keputusan dan mengurus sesuatu perniagaan. Terjun tanpa ilmu ibarat memperjudikan nasib. Banyak orang lebih ghairah melaburkan modal puluhan ribu untuk memulakan perniagaan daripada menghabiskan RM 100 untuk membeli buku-buku perniagaan yang ditulis oleh pakar industri. Dengan adanya ilmu, risiko untuk duit hangus dapat diminimakan. Banyak kisah tragis yang berlaku akibat jahil tentang perniagaan.
3. Gelojoh membuat keputusan
Gelojoh di dalam membuat keputusan menyebabkan banyak tindakan awal yang tidak mengikut logik perniagaan itu dilakukan. Pemilik pernigaan seperti ini lazimnya membuat keputusan atas dasar ‘sangkaan yang baik-baik sahaja’. Lazimnya, keputusan ini di bawah pengaruh emosi ‘over-excited’.  Dalam membuat sesuatu keputusan perlu juga lihat faktor-faktor lain seperti pengalaman, lokasi, jumlah bajet pemasaran, tenaga kerja dan lain-lain. Proses meniru orang berjaya tidak hanya berdasarkan hasil akhir mereka, sebaliknya bermula dari proses awal yang mereka lalui.
4. Memulakan perniagaan dengan duit pinjaman
Menggunakan kemudahan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan akan meletakkan pemilik di dalam situasi tertekan. Fokus mereka bukan lagi untuk mengembangkan bisnes, sebaliknya membayar hutang. Ini menyebabkan wujud satu lagi ‘cabang tekanan’ yang tidak perlu pemilik perniagaan tanggung pada peringkat awal. Duit pinjaman lazimnya digunakan untuk mengembangkan bisnes yang sudah stabil, bukan untuk memulakan bisnes.
5. Menyamakan wang perniagaan dengan wang peribadi
Tidak tahu membezakan wang perniagaan dan wang peribadi menyebabkan perniagaan lebih mudah pancit awal.  Tindakan ini ibarat ‘mencuri’ wang syarikat sendiri. Apabila tiba saat jualan merudum dan syarikat memerlukan bajet tambahan untuk pemasaran, duit syarikat tidak cukup. Wang yang ‘dicuri’ itu pula sudah habis dibelanjakan atas keperluan dan kehendak peribadi.
6. Jangkaan Palsu
Peringkat awal memulakan bisnes, sebahagian pemilik mengalami situasi ‘beginner’s luck’ iaitu jualan produk laku di luar jangkaan. Contohnya, sasaran awal jualan sebanyak RM 4000 meningkat drastik kepada RM 10,000 sebulan. Ini adalah situasi biasa berlaku apabila menjual sesuatu produk yang menjadi ‘trend’. Walaupun dengan menggunakan satu saluran pemasaran dengan bajet yang minima, ia mampu menghasilkan jualan yang jauh melebihi sasaran awal.
Banyak pemilik bisnes yang mengalami situasi ini menjangkakan fenomena ‘jualan lebat’ ini akan berterusan hingga ke bulan-bulan seterusnya sehingga banyak duit dihabiskan kepada produk semata-mata. Apabila graf ‘trend’ produk itu mula menurun, dan tiba masanya syarikat perlu menambah produk baru atau mengembangkan saluran pemasaran, duit di dalam kantung syarikat tidak mencukupi. Produk lama pula masih banyak yang belum dijual. Permintaan semakin lama semakin menurun. Lama kelamaan bisnes terpaksa ditutup.
7. Tidak berani mengambil staf
i. Isu kepercayaan.
Apabila bisnes sudah berjalan lancar, mereka tidak berani menyerahkan sebahagian tugas mereka kepada staf kerana takut berlaku kes pecah amanah dan ‘rahsia-rahsia keuntungan mereka terdedah’. Tindakan ini tiada kaitan dengan kepentingan bisnes. Jika diperhatikan, bisnes yang berkembang baik pada hari ini mempunyai ratusan malah ribuan staf yang bekerja membangunkan syarikat. Syarikat seperti ini juga tidak merahsiakan perolehan syarikat kepada semua warga kerja. Tidak mungkin bisnes itu boleh bertukar menjadi empayar gergasi jika di dalam pejabatnya itu hanya ada pemilik bisnes dan tukang sapu sahaja bertugas.
ii. Isu kos.
Tidak dinafikan mengambil staf melibatkan kos yang tinggi. Bayaran KWSP dan Socso juga perlu diambil kira. Tidak hairan sebahagian pemilik bisnes yang sudah berjaya pada hari ini sanggup memperuntukkan gaji bulanan lebih kecil daripada gaji staf pada peringkat awal memulakan bisnes. Mereka sanggup mengikat perut supaya mereka dapat membayar tenaga mahir. Dengan ini, mereka dapat fokus untuk mengembangkan bisnes daripada masih membuat kerja-kerja teknikal. Banyak bisnes bungkus awal disebabkan terlalu berkira untuk mengambil tenaga pakar yang terbaik di pasaran. 
8. Tidak membuat perancangan spesifik

Bisnes tanpa perancangan ibarat sampan tanpa pendayung. Sebagai contoh, Encik Sirul (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan menjadi pemborong baju kanak-kanak. Encik Sirul mensasarkan jualan tahun pertama sebanyak 200,000 helai. Namun, tiada perancangan spesifik yang dibuat oleh ahli pasukan En Sirul. Angka 200,000 itu tidak akan datang dengan keajaiban.
Salah satu contoh perancangan yang tidak dibuat ialah, En Sirul tidak membuat saringan awal seperti pecahan jualan setiap wakil negeri atau daerah yang perlu dicapai dalam masa setahun. Pecahan-pecahan jualan lebih kecil juga tidak dilakukan seperti sasaran jualan setiap bulan, setiap hari atau setiap jam. Malah, berapa wakil jualan yang perlu dilantik untuk mencapai sasaran jualan juga tidak dianalisa.

No comments:

Post a Comment