Sunday, 23 March 2014
punca usahawan tewas
Punca usahawan tewas!!
Assalamualaikum dan hello pembaca-pembaca blog =]
Usahawan kini berada di mana-mana sahaja. Tidak kiralah usahawan kecil-kecilan atau sebaliknya. Ia merupakan satu perkembangan yang bagus dalam bidang keusahawan di Malaysia. Contohnya dapat kita lihat berita-berita di dada akhbar iaitu, menjadi usahawan Internet pada usia 25 tahun, usahawan kosmetik mencapai status pada usia 21 tahun dan sebagainya. Tetapi, hakikat yang perlu kita tahu di sini adalah di sebalik kejayaan seseorang usahawan itu terdapat 1001 lagi kisah kegagalan yang disembunyikan. Tiada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa sebrang usaha.
Ingin saya kongsikan di sini ialah 8 faktor usahawan di Malaysia tewas pada awal perniagaannya. Oleh itu, kalian yang ingin menjadi usahawan boleh menjadikannya sebagai satu langkah berjaga-jaga.
1. Semangat Palsu
Banyak usahawan baru yang menceburi bidang perniagaan adalah atas semangat untuk memiliki simbol mewah semata-mata. Motivasi mereka terletak pada kejayaan memiliki simbol-simbol tersebut. Apabila mereka berusaha bertahun-tahun dan masih gagal memiliki simbol tersebut, mereka cepat putus asa. Pemilik perniagaan seperti ini meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan perniagaan mereka. Salah satu contoh tingkah laku mereka ialah, mereka menghabiskan sebahagian besar duit keuntungan syarikat untuk membeli simbol-simbol mewah supaya kelihatan kaya dari sudut luaran.
2. Tidak cukup ilmu perniagaan
Ilmu perniagaan yang betul bakal mempengaruhi cara membuat keputusan dan mengurus sesuatu perniagaan. Terjun tanpa ilmu ibarat memperjudikan nasib. Banyak orang lebih ghairah melaburkan modal puluhan ribu untuk memulakan perniagaan daripada menghabiskan RM 100 untuk membeli buku-buku perniagaan yang ditulis oleh pakar industri. Dengan adanya ilmu, risiko untuk duit hangus dapat diminimakan. Banyak kisah tragis yang berlaku akibat jahil tentang perniagaan.
3. Gelojoh membuat keputusan
Gelojoh di dalam membuat keputusan menyebabkan banyak tindakan awal yang tidak mengikut logik perniagaan itu dilakukan. Pemilik pernigaan seperti ini lazimnya membuat keputusan atas dasar ‘sangkaan yang baik-baik sahaja’. Lazimnya, keputusan ini di bawah pengaruh emosi ‘over-excited’. Dalam membuat sesuatu keputusan perlu juga lihat faktor-faktor lain seperti pengalaman, lokasi, jumlah bajet pemasaran, tenaga kerja dan lain-lain. Proses meniru orang berjaya tidak hanya berdasarkan hasil akhir mereka, sebaliknya bermula dari proses awal yang mereka lalui.
4. Memulakan perniagaan dengan duit pinjaman
Menggunakan kemudahan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan akan meletakkan pemilik di dalam situasi tertekan. Fokus mereka bukan lagi untuk mengembangkan bisnes, sebaliknya membayar hutang. Ini menyebabkan wujud satu lagi ‘cabang tekanan’ yang tidak perlu pemilik perniagaan tanggung pada peringkat awal. Duit pinjaman lazimnya digunakan untuk mengembangkan bisnes yang sudah stabil, bukan untuk memulakan bisnes.
5. Menyamakan wang perniagaan dengan wang peribadi
Tidak tahu membezakan wang perniagaan dan wang peribadi menyebabkan perniagaan lebih mudah pancit awal. Tindakan ini ibarat ‘mencuri’ wang syarikat sendiri. Apabila tiba saat jualan merudum dan syarikat memerlukan bajet tambahan untuk pemasaran, duit syarikat tidak cukup. Wang yang ‘dicuri’ itu pula sudah habis dibelanjakan atas keperluan dan kehendak peribadi.
6. Jangkaan Palsu
Peringkat awal memulakan bisnes, sebahagian pemilik mengalami situasi ‘beginner’s luck’ iaitu jualan produk laku di luar jangkaan. Contohnya, sasaran awal jualan sebanyak RM 4000 meningkat drastik kepada RM 10,000 sebulan. Ini adalah situasi biasa berlaku apabila menjual sesuatu produk yang menjadi ‘trend’. Walaupun dengan menggunakan satu saluran pemasaran dengan bajet yang minima, ia mampu menghasilkan jualan yang jauh melebihi sasaran awal.
Banyak pemilik bisnes yang mengalami situasi ini menjangkakan fenomena ‘jualan lebat’ ini akan berterusan hingga ke bulan-bulan seterusnya sehingga banyak duit dihabiskan kepada produk semata-mata. Apabila graf ‘trend’ produk itu mula menurun, dan tiba masanya syarikat perlu menambah produk baru atau mengembangkan saluran pemasaran, duit di dalam kantung syarikat tidak mencukupi. Produk lama pula masih banyak yang belum dijual. Permintaan semakin lama semakin menurun. Lama kelamaan bisnes terpaksa ditutup.
7. Tidak berani mengambil staf
i. Isu kepercayaan.
Apabila bisnes sudah berjalan lancar, mereka tidak berani menyerahkan sebahagian tugas mereka kepada staf kerana takut berlaku kes pecah amanah dan ‘rahsia-rahsia keuntungan mereka terdedah’. Tindakan ini tiada kaitan dengan kepentingan bisnes. Jika diperhatikan, bisnes yang berkembang baik pada hari ini mempunyai ratusan malah ribuan staf yang bekerja membangunkan syarikat. Syarikat seperti ini juga tidak merahsiakan perolehan syarikat kepada semua warga kerja. Tidak mungkin bisnes itu boleh bertukar menjadi empayar gergasi jika di dalam pejabatnya itu hanya ada pemilik bisnes dan tukang sapu sahaja bertugas.
ii. Isu kos.
Tidak dinafikan mengambil staf melibatkan kos yang tinggi. Bayaran KWSP dan Socso juga perlu diambil kira. Tidak hairan sebahagian pemilik bisnes yang sudah berjaya pada hari ini sanggup memperuntukkan gaji bulanan lebih kecil daripada gaji staf pada peringkat awal memulakan bisnes. Mereka sanggup mengikat perut supaya mereka dapat membayar tenaga mahir. Dengan ini, mereka dapat fokus untuk mengembangkan bisnes daripada masih membuat kerja-kerja teknikal. Banyak bisnes bungkus awal disebabkan terlalu berkira untuk mengambil tenaga pakar yang terbaik di pasaran.
8. Tidak membuat perancangan spesifik
Bisnes tanpa perancangan ibarat sampan tanpa pendayung. Sebagai contoh, Encik Sirul (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan menjadi pemborong baju kanak-kanak. Encik Sirul mensasarkan jualan tahun pertama sebanyak 200,000 helai. Namun, tiada perancangan spesifik yang dibuat oleh ahli pasukan En Sirul. Angka 200,000 itu tidak akan datang dengan keajaiban.
Salah satu contoh perancangan yang tidak dibuat ialah, En Sirul tidak membuat saringan awal seperti pecahan jualan setiap wakil negeri atau daerah yang perlu dicapai dalam masa setahun. Pecahan-pecahan jualan lebih kecil juga tidak dilakukan seperti sasaran jualan setiap bulan, setiap hari atau setiap jam. Malah, berapa wakil jualan yang perlu dilantik untuk mencapai sasaran jualan juga tidak dianalisa.
Sani Salleh
usahawan pengangkutan berjaya
Assalamualaikum dan hai semua....
Kali ini saya nak berkongsi serba sedikit tentang latar belakang usahawan pengangkutan yang berjaya. Siapa lagi tidak lain tidak bukan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh.
Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.
“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?
Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.
Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.
Kali ini saya nak berkongsi serba sedikit tentang latar belakang usahawan pengangkutan yang berjaya. Siapa lagi tidak lain tidak bukan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh.
NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
USIA: 33 tahun
LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).
PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)
PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.
Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.
“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.
Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.
Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express. Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.
Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.
Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.
“Biasalah… dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.
“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.
Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu. Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan. Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.
“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.
Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.
Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.
“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.
“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.
Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.
Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.
“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.
Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.
“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.
“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.
Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.
“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.
Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.
Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.
Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.
“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.
“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.
Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.
Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.
“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.
“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.
“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.
Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.
“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.
Saturday, 22 March 2014
irfan khairi jutawan muda
Irfan khairi
KEJAYAAN
Irfan Khairi mencapai pendapatan RM1 juta melalui perniagaan internet dalam
usia yang masih muda telah melonjakkan namanya sehingga digelar sebagai jutawan
internet.
Rata-rata
pengusaha yang menjalankan perniagaan berasaskan internet telah menjadikan
beliau sebagai ikon dan sumber inspirasi untuk maju dalam perniagaan. Pergilah
ke mana-mana jemputan seminar bisnes internet sama ada konvensional mahupun
berasaskan ‘networking,’ nama Irfan Khairi pastinya disebut-sebut sebagai
individu contoh yang berjaya dalam bisnes internet.
Mengimbas
kembali kronologi sejarah dirinya sebelum bergelar jutawan. sebaik sahaja
menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire
Universiti, United Kingdom (UK), Irfan menerima tawaran bekerja di salah sebuah
syarikat teknologi maklumat (IT) terbesar di Birmingham iaitu Netmedia (UK)
Ltd.
Sebagai pereka sistem
multimedia dan perunding internet, beliau diberi tanggungjawab mereka cipta
sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai
Learning Grid. Sekarang lebih daripada 5000 buah sekolah di UK menggunakan
sistem tersebut.
Oleh sebab minat dan
pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula
berjinak-jinak dalam bidang perniagaan internet secara sambilan pada 1999.
Perniagaan internet beliau
yang menggunakan nama IdeaBubble, sehingga sekarang telah berkhidmat untuk
lebih daripada 3000 orang pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari
Amerika Syarikat, UK, negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia.
Antaranya
perniagaannya yang berjaya dan berkembang pesat melibatkan perkhidmatan mereka
bentuk buku elektronik (e-book), mereka cipta laman web dan grafik,
perkhidmatan SEO(Search Engine
Optimization), menjual peta, penempatan hotel, perunding
multimedia, e-Niaga dan e-pembelajaran.
Namun demikian, sebelum
mencipta kejayaan, beliau mengaku mengalami kegagalan di peringkat awal
mengusahakan bisnes internet. Selama setahun beliau menghadapi masalah untuk
mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan tidak mencapai
matlamat.
Kegagalan yang dialami
menyebabkan Irfan mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet.
Hasil penelitiannya, Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang
menyebabkan kegagalannya iaitu kaedah promosi yang tidak tepat dan juga kurang
fokus.
Minat yang mendalam
terhadap perniagaan internet telah mendorong Irfan mempelajari semula pelbagai
perkara tentang pemasaran melalui menerusi internet, serta menjadikan beberapa
orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai contoh.
Berbekalkan ilmu dan
pengalaman yang dipelajarinya sebelum ini, Irfan menyusun semula srategi
perniagaannya, dengan bermodalkan kurang daripada RM500.
Dalam
percubaan kedua untuk bangkit dari kegagalan itu, Irfan lebih bijak memilih
kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang diketengahkan.
Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran Arab bagi menjual
peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyai permintaan yang
tinggi di sana.
Irfan
akhirnya berjaya mengangkat perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan
tersebut meningkat berlipat kali ganda daripada pendapatan yang diperolehi
daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan
perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa.
Akhirnya, selepas tiga
tahun menjalankan perniagaan internet, Irfan telah berjaya memperolehi
pendapatan mencecah RM1 juta tanpa perlu ada pekerja dan peralatan komputer
yang canggih.
Semenjak itu, Irfan hanya
bekerja sepenuh masa dari rumah dengan menggunakan komputer riba dan akses
internet. Ketika itu, beliau baru sahaja berusia 25 tahun.
Irfan juga tidak lokek
berkongsi kejayaannya dengan sesiapa pun malah beliau mencurahkan pengalamannya
dengan menulis buku berjudul, “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar”
kepada orang ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan
perniagaan internet.
Menceritakan pengalamannya
yang sukar dilupakan ketika mengusahakan perniagaan internet ketika menetap di
luar negara ialah pertemuannya dengan seorang jutawan hartanah terkenal, Azizi
Ali.
“Antara kisah yang
membuatkan orang kenal dengan saya sehingga ke hari ini ialah Azizi Ali.
“Pada mulanya Azizi Ali
menjadi pelanggan saya. Beliau membuat pesanan di laman web saya yang menjual
perkhidmatan reka bentuk logo. Saya dapat tempahan daripada beliau untuk
membuat logo.
“Apabila saya lihat butiran
pembayaran menggunakan kad kredit, saya perhatikan nama butiran kad kredit itu
nama orang Melayu. Jadi saya tengok alamatnya orang Malaysia. Waktu itu saya
rasa macam popular nama itu.
“Saya terus membuat reka
bentuk logo untuknya. Kemudian saya baru teringat yang saya ada memiliki buku
yang ditulis oleh Azizi Ali. Saya ambil buku itu dan saya tengok alamat buku
itu sama dengan alamat yang tertera dalam butiran kad kredit tersebut.
Rupa-rupanya Azizi Ali merupakan jutawan hartanah yang terkenal itu.
“Apabila logo telah saya
siapkan, saya berinteraksi melalui e-mel dengan Azizi dalam Bahasa Inggeris.
Beliau tidak tahu pun yang saya ini adalah orang Melayu. Beliau akhirnya
berpuas hati dengan logo yang saya buat melalui testimoni yang dihantar.
Selepas membaca testimoninya menerusi e-mel, saya balas balik e-mel beliau
dalam Bahasa Melayu.
“Beliau terkejut apabila
mengetahui saya orang Melayu. Kemudian beliau pesan supaya saya menemui beliau
apabila pulang ke Malaysia. Dipendekkan cerita, saya pulang ke Malaysia bersama
isteri ketika cuti panjang.
“Apabila dapat tahu Azizi
ada buat seminar, saya terus menemuinya dan bersembang banyak perkara. Dari
situlah hubungan saya dengan Azizi Ali mula terbina. Beliau cadangkan kepada
saya kenapa tidak awak buat buku tentang perniagaan internet. Jadi, saya terima
sahaja cadangan beliau. Saya tulis, Azizi yang terbitkan. Saya menjadi penulis
Azizi yang pertama, sebelum ini, syarikat penerbitan beliau tidak ambil seorang
penulis pun,” jelas Irfan panjang lebar.
“Apa yang saya nak beritahu
di sini ialah tentang betapa hebatnya perniagaan internet, perniagaan tanpa
sempadan. Dari beribu-ribu batu jauh jaraknya, saya boleh bertemu dengan Azizi
Ali,” kata Irfan yang mengakui bahawa Azizi Ali menjadi titik tolak dirinya
dikenali pada hari ini.
Hasil cadangan Azizi Ali
yang merupakan seorang pakar kewangan tempatan itulah menyebabkan buku “Rahsia
Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” ditulis manakala Azizi Ali menajdi
penerbit buku berkenaan melalui syarikatnya, Truwealth Sendirian Berhad.
Buku
itu telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan sehingga mencapai tahap best
seller sepanjang tahn
2005. Kewujudan buku itu sebenarnya menjadi “publisiti” yang telah membantu
melonjakkan nama Irfan Khairi sebagai ikon perniagaan internet sehingga menjadi
rujukan oleh pelbagai pihak.
Di pihak media, terutamanya
para editor dan juga wartawan menjadikan beliau sebagai sumber bahan
perbincangan mengenai isu yang berkaitan dengan perniagaan internet. Hasilnya,
Irfan Khairi mendapat publisiti yang sangat meluas daripada pelbagai media
cetak dan elektronik sehingga ke hari ini.
Selain buku, Irfan juga
pada setiap bulan turut menganjurkan bengkel serta seminar yang berkaitan
dengan perniagaan internet. Kini, beliau bukan sahaja mengajar subjek
perniagaan internet pada bengkel yang dikendalikannya, malah turut mendapat
tawaran memberi ceramah ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di Institut
Pengajian Awam serta Swasta. Begitulah sedikit sebanyak kisah kejayaan beliau
dalam perniagaan internet.
Bercakap mengenai rahsia
kejayaan, beliau mengambil contoh individu yang paling kaya di dunia ini yang
turut menjadi idolanya iaitu Bill Gates.
“Saya
dapati, mereka yang berjaya kerana mereka melakukan perkara yang disukai.
Contohnya Bill Gates, ‘Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang
diminatinya iaitu pengaturcaraan (programming).
selebriti sebagai usahawan
Selebriti Malaysia yang jadi menjadi usahawan..
Seorang selebriti lelaki yang tidak kurang hebatnya ialah Ezany
Nizariff, jejaka berusia 36 tahun yang popular dengan watak Irfan dalam drama bersiri Natasha, sekarang
sudah bergelar usahawan belacan. Rupanya sejak setahun lalu, syarikatnya EMP
Sdn. Bhd, sudah menghasilkan ‘Belacan Ezany’. Bermula secara kecil-kecilan, Ezany kini mampu berbangga apabila kicap dan belacannya telah berada di pasaraya
terkemuka seperti Giant, Mydin dan Jaya Jusco. Malah artis ini kini mempunyai
kilang di Lestary Perdana, Seri Kembangan, Selangor.
Memulakan karier sebagai pelakon, Ezany ke sana ke mari menghadiri uji
bakat dengan menaiki pengankutan awam sahaja. Apabila semakin naik, usahawan
muda ini berkereta Satria warna hijau. Setelah memperoleh pendapatan yang
lumayan melalui drama-drama popular beliau, keretanya bertukar kepada Kia
Sorento dan kini beliau sudah pun memiliki kereta BMW dan dua buah kondominium
hasil pendapatan berniaga!
Satu sifat Ezany yang boleh dipuji ialah beliau tidak berasa malu
menjual belacan kerana katanya belacan adalah salah satu perencah masakan
Melayu.
“Sejak
dulu belacan memang tidak boleh dipisahkan daripada masakan kita walaupun ia
sedikit berbau. Sebab itu kalau kita sebut belacan, dengan sendirinya kita tahu
ia berkaitan dengan masakan Melayu. Sebab itu pada setiap bungkus Belacan Ezany
tertera gambar saya, siap bersongkok dan berpakaian baju Melayu,” kata Ezany
dalam satu petikan surat khabar yang mengumpulkan golongan artis berniaga.
Kini, kilang belacan Ezany di Sungai Berambang, Perlis dah boleh
keluarkan 50,000 ketul belacan sebulan. Belacan yang dijual seberat 150 gram
dan 70 gram itu dihasilkan oleh 10 wanita kampung dengan menggunakan udang
geragau. Belacan yang diusahakan syarikat usahawan muda ini menggunakan seratus
peratus udang geragau. Tetapi ada juga yang dibuat dengan menggunakan campuran
ikan dan udang.
Selain belacan, syarikat Ezany turut mengedar kunyit serbu, rempah
ikan, rempah
kurma dan pelbagai lagi perencah masakan. Apabila jenama Ezany
sudah terkenal terutamanya di kalangan peminatnya, Ezany dengan bijak mengambil
peluang untuk menjual sos tomato dan sos cili dan turut mempunyai jenama
pakaiannya sendiri iaitu Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco. Beliau
memang ahli perniagaan yang pandai merebut peluang!
Beralih kepada usahawan yang kedua,
nama trio tiga adik beradik ini sudah memang tersangat dikenali diseantero
Asia. KRU. Tiga aksara yang melambangkan kesungguhan, muzik, inovasi dan
teknologi tiga artis Melayu yang boleh dibanggakan. Kumpulan yang sudah lebih
sedekad membabitkan diri dalam perniagaan berkisarkan muzik ini bijak
menggunakan segala peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri
seni.
Kejayaan mengukir nama dalam
dunia seni suara turut memberi kesan kepada penghasilan filem termasuk aspek
pentadbiran dan penerbitan. Malah sejak akhir-akhir ini Kru sibuk mengukuhkan
kedudukan mereka untuk menjadi satu jenama di medan antarabangsa. Semua
syarikat milik mereka disatukan di bawah satu entiti di beri nama KRU STUDIOS,
malah sudah mempunyai cawangan di luar negara.
Perkembangan positif dalam dunia
perniagaan bukan saja membanggakan tiga beradik itu malah kalangan yang
mengikuti kemajuan kerjaya seni mereka. Perkara itu turut dikongsi semua pihak.
Dek kesibukan dan urusan perniagaan yang semakin berkembang, syarikat yang
berpusat di Setiawangsa ini sudahpun mengalihkan operasinya ke Cyberjaya tidak
lama lagi.
KRU bermula dari bawah, mereka
mendaki setiap anak tangga untuk menuju ke puncak dan yang paling penting,
mereka tidak menunggu peluang, mereka menciptanya! Pada peringkat awal
perniagaan pada 1992, mereka hanya menyewa bilik kecil. Kakitangannya, adalah
Norman Abdul Halim, vokalis KRU dan ibu. Apabila perniagaan mereka sudah
berkembang, mereka berpindah ke Setiawangsa seterusnya membeli blok perniagaan
itu pada 1996 dan 1997. Disebabkan pejabat di Setiawangsa yang agak padat
dengan jumlah pekerja yang semakin ramai dan pelbagai perancangan yang sedang
giat diatur, pihak pengurusan KRU iaitu mereka sendiri bertekad untuk berpindah
ke sebuah lokasi yang lebih selesa. BERKELUASAN 15.39 ekar di atas sebidang
tanah di Cyberjaya, KRU Studios dilengkapi pelbagai kemudahan canggih untuk
tujuan penerbitan, ia dilihat sebagai simbol kejayaan kepada KRU yang
ditunjangi tiga beradik popular, Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim serta
Edry Abdul Halim.
Bangunan tersebut dilengkapi
dengan studio penerbitan audio, studio suntingan, studio pengimejan digital dan
studio animasi visual kesan khas. Selain itu, ia juga menyediakan dua pentas
persembahan yang masing-masingnya berkeluasan 2,500 dan 10,000 kaki persegi
untuk tujuan persembahan konsert dan rakaman program-program televisyen. Selain
itu, ia juga menyediakan bilik-bilik serbaguna seperti bilik pakaian, bilik
solekan serta bilik untuk artis.
Tak cukup dengan itu, KRU
Studios turut tidak lupa untuk menyediakan ruang untuk set penggambaran luar
terutama untuk perfileman, ruang pejabat untuk disewa oleh syarikat produksi
yang bukan sahaja daripada bidang filem malah pengiklanan. Dan yang paling utama,
KRU Studios mampu berbangga apabila studionya di Cyberjaya turut menawarkan
sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang kini banyak
digunakan dalam industri penerbitan.
Bidang muzik telah mereka
kuasai. Feminin, Elite, Adam AF2, Dafi, Innuendo, Ezzlyn-semua adalah artis
rakaman KRU yang rata-ratanya Berjaya di arena muzik tanah air. Kini, KRU lebih
menumpukan kepada bidang filem, sesuatu yang mereka memang ingin terokai dari
umur remaja lagi. Dengan adanya KRU Studios ini, KRU merancang untuk
menghasilkan 12 buah filem dalam setahun dan menggiatkan penghasilan
penerbitan-penerbitan lain. Meskipun Thailand dan beberapa negara rantau Asia
memiliki teknologi HD, KRU Studios menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih
murah di samping lokasinya strategik.
KRU sememangnya artis yang tidak
pernah kenal erti BEREHAT. Buktinya, mereka telah pun menghasilkan sebuah
dokumentari berorientasikan budaya tempatan untuk pasaran luar. Dokumentari itu
berkisar tentang keris, wau, batik dan kehidupan masyarakat Bajau Laut serta
penduduk Portugis di Melaka. Yang membanggakan ialah dokumentari itu telah
berjaya dipasarkan di 22 buah negara dan ada dokumentari terbabit berjaya
memenangi anugerah dalam satu majlis penganugerahan di Bali, Indonesia tahun
lalu.
Kejayaan Norman bersama dua adiknya, Yusry dan Edry adalah berdasarkan usaha mereka membina perniagaan sejak 1992 dari modal sebanyak RM2,000 sahaja. Tetapi kini, mereka sudah ada aset bernilai jutaan ringgit termasuk bangunan sendiri yang berharga RM4.8 juta. Norman, 36 tahun, ialah Presiden dan Ketua Eksekutif kepada syarikat KRU Capital Sdn Bhd yang mempunyai 6 anak syarikat iaitu KRU Music Group, KRU Publishing, KRU Communications, KRU Films, KRU Media dan KRU Matrix. KRU Capital juga telah mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat dan Singapura dengan penubuhan KRU America Inc. dan KRU Singapura Pte Ltd.
Beralih kepada pelakon dan pengacara Wan Edrinas Wan Mokhtar, 28
tahun. Bak kata Daphne Iking, Dynas merupakan wanita yang paling matang dan
berfikiran jauh mengenai perancangan masa depan walaupun dia rakan termuda di
kalangan teman mereka yang lain seperti Yasmin Hani, Atilia, Sazzy Falak dan
Aishah Sinclair.
Mengakui tentang hal tersebut, ibu beranak satu ini begitu teliti
dengan setiap perancangan yang dilakukannya. Kerana semangat dan kecekalannya
juga, perancangan memiliki sebuah butik khas buat ibu-ibu moden terlaksana jua.
Kini beliau boleh berbangga dengan Butik Dynas Nursing Attire atau DNA telah
dilancarkan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.
Tetapi mengapa perniagaan pakaian ibu mengandung? Bekas pengacara Beat
TV berasa tidak selesa dengan pakaian mengandung yang berada di pasaran. Beliau
sendiri menghadapi kesukaran untuk mencari pakain mengandung yang sesuai dan
moden ketika mengandungkan Khyra Khalisa.
Malah pakaian khas buat ibu yang menyusukan anak juga sukar untuk dicari di
Malaysia dan hal tersebut membuatkan Dynas mula mengilhamkan beberapa pakaian
yang sesuai.
Beliau berpendapat, semakin kurang para ibu yang memberikan susu
mereka kepada anak-anak dan salah satu faktornya adalah tiada pakaian yang
sesuai buat mereka lebih-lebih lagi buat ibu yang berkerjaya. Dengan rekaan
pakaian untuk ibu ini, artis jelita ini berharap tiada lagi ibu-ibu mengandung
mahupun yang menyusukan anak malu dengan gelaran ‘ibu’ kerana pemakaian yang
kurang moden.
Sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan wang sejumlah RM150,000
untuk membuka butik Dynas Nursing Attire (DNA), pada mulanya beliau tidak ada
keberanian dan kurang yakin untuk membuka perniagaan bersendirian lebih-lebih
lagi terpaksa mengeluarkan modal yang besar tanpa membuat pinjaman.
Bagaimanapun, keluarga, ibu dan seorang rakan daripada Nurturing Concept iaitu
Rita yang telah menaikkan semangat dan menyokong beliau untuk bergerak sendiri
dalam perniagaan ini.
Graduan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam ini seperti yang diketahui ramai amat peka pada penjagaan kecantikan
diri secara luaran dan dalaman. Bergelar ibu juga bukanlah satu alasan untuk
dirinya semakin malas dengan penjagaan diri. Walaupun bergaya moden, Dynas juga
tetap menjaga kecantikannya dengan amalan tradisional Melayu.
Subscribe to:
Comments (Atom)



.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)


.jpg)
.jpg)