Selebriti Malaysia yang jadi menjadi usahawan..
Seorang selebriti lelaki yang tidak kurang hebatnya ialah Ezany
Nizariff, jejaka berusia 36 tahun yang popular dengan watak Irfan dalam drama bersiri Natasha, sekarang
sudah bergelar usahawan belacan. Rupanya sejak setahun lalu, syarikatnya EMP
Sdn. Bhd, sudah menghasilkan ‘Belacan Ezany’. Bermula secara kecil-kecilan, Ezany kini mampu berbangga apabila kicap dan belacannya telah berada di pasaraya
terkemuka seperti Giant, Mydin dan Jaya Jusco. Malah artis ini kini mempunyai
kilang di Lestary Perdana, Seri Kembangan, Selangor.
Memulakan karier sebagai pelakon, Ezany ke sana ke mari menghadiri uji
bakat dengan menaiki pengankutan awam sahaja. Apabila semakin naik, usahawan
muda ini berkereta Satria warna hijau. Setelah memperoleh pendapatan yang
lumayan melalui drama-drama popular beliau, keretanya bertukar kepada Kia
Sorento dan kini beliau sudah pun memiliki kereta BMW dan dua buah kondominium
hasil pendapatan berniaga!
Satu sifat Ezany yang boleh dipuji ialah beliau tidak berasa malu
menjual belacan kerana katanya belacan adalah salah satu perencah masakan
Melayu.

Kini, kilang belacan Ezany di Sungai Berambang, Perlis dah boleh
keluarkan 50,000 ketul belacan sebulan. Belacan yang dijual seberat 150 gram
dan 70 gram itu dihasilkan oleh 10 wanita kampung dengan menggunakan udang
geragau. Belacan yang diusahakan syarikat usahawan muda ini menggunakan seratus
peratus udang geragau. Tetapi ada juga yang dibuat dengan menggunakan campuran
ikan dan udang.
Selain belacan, syarikat Ezany turut mengedar kunyit serbu, rempah
ikan, rempah
kurma dan pelbagai lagi perencah masakan. Apabila jenama Ezany
sudah terkenal terutamanya di kalangan peminatnya, Ezany dengan bijak mengambil
peluang untuk menjual sos tomato dan sos cili dan turut mempunyai jenama
pakaiannya sendiri iaitu Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco. Beliau
memang ahli perniagaan yang pandai merebut peluang!
Beralih kepada usahawan yang kedua,
nama trio tiga adik beradik ini sudah memang tersangat dikenali diseantero
Asia. KRU. Tiga aksara yang melambangkan kesungguhan, muzik, inovasi dan
teknologi tiga artis Melayu yang boleh dibanggakan. Kumpulan yang sudah lebih
sedekad membabitkan diri dalam perniagaan berkisarkan muzik ini bijak
menggunakan segala peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri
seni.
Kejayaan mengukir nama dalam
dunia seni suara turut memberi kesan kepada penghasilan filem termasuk aspek
pentadbiran dan penerbitan. Malah sejak akhir-akhir ini Kru sibuk mengukuhkan
kedudukan mereka untuk menjadi satu jenama di medan antarabangsa. Semua
syarikat milik mereka disatukan di bawah satu entiti di beri nama KRU STUDIOS,
malah sudah mempunyai cawangan di luar negara.
Perkembangan positif dalam dunia
perniagaan bukan saja membanggakan tiga beradik itu malah kalangan yang
mengikuti kemajuan kerjaya seni mereka. Perkara itu turut dikongsi semua pihak.
Dek kesibukan dan urusan perniagaan yang semakin berkembang, syarikat yang
berpusat di Setiawangsa ini sudahpun mengalihkan operasinya ke Cyberjaya tidak
lama lagi.
KRU bermula dari bawah, mereka
mendaki setiap anak tangga untuk menuju ke puncak dan yang paling penting,
mereka tidak menunggu peluang, mereka menciptanya! Pada peringkat awal
perniagaan pada 1992, mereka hanya menyewa bilik kecil. Kakitangannya, adalah
Norman Abdul Halim, vokalis KRU dan ibu. Apabila perniagaan mereka sudah
berkembang, mereka berpindah ke Setiawangsa seterusnya membeli blok perniagaan
itu pada 1996 dan 1997. Disebabkan pejabat di Setiawangsa yang agak padat
dengan jumlah pekerja yang semakin ramai dan pelbagai perancangan yang sedang
giat diatur, pihak pengurusan KRU iaitu mereka sendiri bertekad untuk berpindah
ke sebuah lokasi yang lebih selesa. BERKELUASAN 15.39 ekar di atas sebidang
tanah di Cyberjaya, KRU Studios dilengkapi pelbagai kemudahan canggih untuk
tujuan penerbitan, ia dilihat sebagai simbol kejayaan kepada KRU yang
ditunjangi tiga beradik popular, Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim serta
Edry Abdul Halim.
Bangunan tersebut dilengkapi
dengan studio penerbitan audio, studio suntingan, studio pengimejan digital dan
studio animasi visual kesan khas. Selain itu, ia juga menyediakan dua pentas
persembahan yang masing-masingnya berkeluasan 2,500 dan 10,000 kaki persegi
untuk tujuan persembahan konsert dan rakaman program-program televisyen. Selain
itu, ia juga menyediakan bilik-bilik serbaguna seperti bilik pakaian, bilik
solekan serta bilik untuk artis.
Tak cukup dengan itu, KRU
Studios turut tidak lupa untuk menyediakan ruang untuk set penggambaran luar
terutama untuk perfileman, ruang pejabat untuk disewa oleh syarikat produksi
yang bukan sahaja daripada bidang filem malah pengiklanan. Dan yang paling utama,
KRU Studios mampu berbangga apabila studionya di Cyberjaya turut menawarkan
sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang kini banyak
digunakan dalam industri penerbitan.
Bidang muzik telah mereka
kuasai. Feminin, Elite, Adam AF2, Dafi, Innuendo, Ezzlyn-semua adalah artis
rakaman KRU yang rata-ratanya Berjaya di arena muzik tanah air. Kini, KRU lebih
menumpukan kepada bidang filem, sesuatu yang mereka memang ingin terokai dari
umur remaja lagi. Dengan adanya KRU Studios ini, KRU merancang untuk
menghasilkan 12 buah filem dalam setahun dan menggiatkan penghasilan
penerbitan-penerbitan lain. Meskipun Thailand dan beberapa negara rantau Asia
memiliki teknologi HD, KRU Studios menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih
murah di samping lokasinya strategik.
KRU sememangnya artis yang tidak
pernah kenal erti BEREHAT. Buktinya, mereka telah pun menghasilkan sebuah
dokumentari berorientasikan budaya tempatan untuk pasaran luar. Dokumentari itu
berkisar tentang keris, wau, batik dan kehidupan masyarakat Bajau Laut serta
penduduk Portugis di Melaka. Yang membanggakan ialah dokumentari itu telah
berjaya dipasarkan di 22 buah negara dan ada dokumentari terbabit berjaya
memenangi anugerah dalam satu majlis penganugerahan di Bali, Indonesia tahun
lalu.
Kejayaan Norman bersama dua adiknya, Yusry dan Edry adalah berdasarkan usaha mereka membina perniagaan sejak 1992 dari modal sebanyak RM2,000 sahaja. Tetapi kini, mereka sudah ada aset bernilai jutaan ringgit termasuk bangunan sendiri yang berharga RM4.8 juta. Norman, 36 tahun, ialah Presiden dan Ketua Eksekutif kepada syarikat KRU Capital Sdn Bhd yang mempunyai 6 anak syarikat iaitu KRU Music Group, KRU Publishing, KRU Communications, KRU Films, KRU Media dan KRU Matrix. KRU Capital juga telah mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat dan Singapura dengan penubuhan KRU America Inc. dan KRU Singapura Pte Ltd.
Beralih kepada pelakon dan pengacara Wan Edrinas Wan Mokhtar, 28
tahun. Bak kata Daphne Iking, Dynas merupakan wanita yang paling matang dan
berfikiran jauh mengenai perancangan masa depan walaupun dia rakan termuda di
kalangan teman mereka yang lain seperti Yasmin Hani, Atilia, Sazzy Falak dan
Aishah Sinclair.
Mengakui tentang hal tersebut, ibu beranak satu ini begitu teliti
dengan setiap perancangan yang dilakukannya. Kerana semangat dan kecekalannya
juga, perancangan memiliki sebuah butik khas buat ibu-ibu moden terlaksana jua.
Kini beliau boleh berbangga dengan Butik Dynas Nursing Attire atau DNA telah
dilancarkan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.
Tetapi mengapa perniagaan pakaian ibu mengandung? Bekas pengacara Beat
TV berasa tidak selesa dengan pakaian mengandung yang berada di pasaran. Beliau
sendiri menghadapi kesukaran untuk mencari pakain mengandung yang sesuai dan
moden ketika mengandungkan Khyra Khalisa.
Malah pakaian khas buat ibu yang menyusukan anak juga sukar untuk dicari di
Malaysia dan hal tersebut membuatkan Dynas mula mengilhamkan beberapa pakaian
yang sesuai.
Beliau berpendapat, semakin kurang para ibu yang memberikan susu
mereka kepada anak-anak dan salah satu faktornya adalah tiada pakaian yang
sesuai buat mereka lebih-lebih lagi buat ibu yang berkerjaya. Dengan rekaan
pakaian untuk ibu ini, artis jelita ini berharap tiada lagi ibu-ibu mengandung
mahupun yang menyusukan anak malu dengan gelaran ‘ibu’ kerana pemakaian yang
kurang moden.
Sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan wang sejumlah RM150,000
untuk membuka butik Dynas Nursing Attire (DNA), pada mulanya beliau tidak ada
keberanian dan kurang yakin untuk membuka perniagaan bersendirian lebih-lebih
lagi terpaksa mengeluarkan modal yang besar tanpa membuat pinjaman.
Bagaimanapun, keluarga, ibu dan seorang rakan daripada Nurturing Concept iaitu
Rita yang telah menaikkan semangat dan menyokong beliau untuk bergerak sendiri
dalam perniagaan ini.
Graduan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam ini seperti yang diketahui ramai amat peka pada penjagaan kecantikan
diri secara luaran dan dalaman. Bergelar ibu juga bukanlah satu alasan untuk
dirinya semakin malas dengan penjagaan diri. Walaupun bergaya moden, Dynas juga
tetap menjaga kecantikannya dengan amalan tradisional Melayu.
No comments:
Post a Comment